Sunday, June 21, 2009

Ilmu Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Ilmu akidah bersumber karya ulama silam Melayu


SHeikh Nuruddin Ar-Raniri antara ulama yang terawal mengarang ilmu akidah di alam Melayu pada abad ke-16.


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH

ILMU Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah sangat luas jika dibicarakan dari sumber-sumber asalnya yang meliputi berpuluh-puluh, beratus-ratus bahkan ribuan kitab.

Sebahagian kecil sejarah ringkas Ilmu Tauhid di Dunia Melayu dalam beberapa judul penting yang telah ditulis oleh para ulama Dunia Melayu, telah penulis perkenalkan dalam ruangan-ruangan sebelum ini dan dimuatkan juga dalam buku Faridatul Faraid, Sheikh Ahmad al-Fathani.

Maka dirasakan tidak perlu ia diulang perkara yang sama. Oleh itu, untuk perbicaraan ini, penulis hanya mengehadkan kepada sumber-sumber tradisional karya ulama dunia Melayu sahaja.

Senarai kitab akidah ulama dunia Melayu

Sebelum memasuki sejarah penulisan akidah Islami yang berhaluan Ahlus Sunnah wal Jamaah di Dunia Melayu, terlebih dahulu ada baiknya penulis senaraikan pelbagai judul kitab yang dikarang oleh ulama-ulama silam kita.

Karya-karya akidah itu dapat dibahagi kepada empat corak iaitu:

lKarya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Melayu.

lKarya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Arab.

lKarya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu.

lKarya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Arab.

Daripada keterangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu berkebolehan mengarang kitab-kitab dalam bentuk bahasa Arab yang setaraf dengan orang-orang Arab sendiri.

Bahawa demikian pentingnya ilmu tauhid (akidah) sehingga dalam perbicaraan mengenai fiqh atau tasauf pun masih juga membicarakan perkara akidah.

Disimpulkan bahawa ulama silam Dunia Melayu sependapat bahawa “Mengenal Allah dan Rasul-Nya melalui akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah wajib, mendapat tempat yang pertama dan utama dari ilmu-ilmu lainnya”.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al Fathani dalam karyanya Jumanatut Tauhid dalam bentuk syair menulis, maksudnya: “Dan sesudah itu maka Ilmu Tauhid itu pada pelbagai ilmu, seumpama matahari di antara sekelian bintang”.

Adapun senarai kitab akidah yang disenaraikan tersebut dapat dijelaskan sebagai yang berikut:

i. Karya Ilmu Tauhid Dalam Bahasa Melayu

Antara karya-karya yang berkaitan untuk bahagian ini telah ditemui agak banyak. Antaranya ialah:

lIlmu Tauhid karya Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) yang ditulis dalam tahun 1032 H (kira-kira 1622 M),

lDurarul Faraid bisyarhil ‘Aqaid karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri, tahun penulisan 1045 H (kira-kira bersamaan 1635 M).

lBidayatul Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, tahun penulisan 1170 H (kira-kira 1757 M).

lZahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1178 H (kira-kira 1764 M).

lTuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imanil Mu’minin wa Yufsiduhu min Riddatil Murtaddin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tahun penulisan 1188 H (kira-kira 1774 M).

lKifayatul Mubtadi fi Ushuli I’tiqadil Mursyidin, atau dengan judul lain iaitu Irsyadu Athfalil Mubtadi-in fi ‘Aqaidid Din wa Ad’iyah an Nafi’ah ad Din karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).

lRisalatu Ta’alluqi bi Kalimatil Iman karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

lDhiyaul Murid fi Ma’rifati Kalimatit Tauhid karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).

lAd Durruth Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1232 H (kira-kira 1817 M).

l‘Iqdatul Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M).

lWarduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M) dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan kesemuanya.

ii. Karya Ilmu Tauhid Yang Khas Yang Membicarakan Tentang Itu Yang Ditulis Dalam Bahasa Arab

Kitab-kitab Ilmu Tauhid yang ditulis oleh ulama silam Dunia Melayu dalam bentuk bahasa Arab tidaklah sebanyak seperti yang ditulis dalam bahasa Melayu. Di antara yang dapat dicatat disenaraikan seperti berikut:

lJumanatut Tauhid karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).

lMunjiatul ‘Awam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).

lSabilus Salam atau dengan judul yang lain Minhajus Salam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1306 H (kira-kira 1888 M).

lFat-hul Majid fi Syarhid Durril Farid fi ‘Ilmit Tauhid karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1294 H (kira-kira 1877 M).

lNuruzh Zhalam ‘alal Manzhumati al-Musammah bi ‘Aqidatil ‘Awam karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).

lSyarhul Futuhatil Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tanpa menyebut tahun penulisan.

Perlu penulis sebutkan bahawa selain Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Nawawi al-Bantani, terdapat beberapa ulama Dunia Melayu yang menjalankan aktivitinya di Mekah yang juga meninggalkan beberapa karya dalam bahasa Arab termasuk karangan perkara akidah.

Mereka ialah Sheikh Muhammad Mukhtar bin Atarid Bogor, Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau (pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah), Sheikh Abdul Hamid Kudus (juga pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah menggantikan Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau).

iii. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Melayu)

Sebagai petanda bahawa perkara akidah tradisional menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berpunca dari Sheikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sangat penting, maka ulama-ulama Dunia Melayu dalam kitab-kitab fikah yang dikarang terlebih dahulu menulis tentang akidah tersebut di bahagian awal karya fikah berkenaan.

Demikian juga dilakukan terhadap kitab-kitab tasauf. Di antara kitab-kitab fikah ataupun tasauf yang didahului dengan ilmu akidah di antaranya:

lPada bahagian awal Hidayatus Salikin karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1192 H (kira-kira 1778 M).

lSiyarus Salikin (jilid 1) karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1194 H (kira-kira 1780 M).

lHidayatul Muta’allim wa ‘Umdatul Mu’allim karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1244 H (kira-kira 1828 M).

lFathul Mannan li Shafwatiz Zubad karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1249 H (kira-kira 1833 M).

lAl-Jawahirus Saniyah fi Syarhil ‘Aqaidid Diniyah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).

lSullamul Mubtadi fi Ma’rifatil Muhtadi karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).

lFuru’ul Masail wa Wushulul Washail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1254 -1257 H (kira-kira 1838-1841 M).

lMathla’ul Badrain wa Majma’ul Bahrain karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1303 H (kira-kira 1885 M).

lWusyahul Afrah wa Ashbahul Falah karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1313 H (kira-kira 1895 H).

lBahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtahidin karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1310 H (kira-kira 1892 M).

l‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanus Shalah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1319 H (kira-kira 1902 M) dan

lDi bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1323 H (kira-kira 1905 M).

iv. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Arab)

Di bahagian ini hanya dapat disenaraikan beberapa karya Sheikh Nawawi al-Bantani sebagai contoh. Hal ini disebabkan kurang mendapat maklumat dan sedikit sekali ulama silam Dunia Melayu melakukannya.

Di antara kitab-kitab karya Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut ialah:

l Di bahagian awal Syarah Sullamul Munajah, Mirqatu Shu’udit Tashdiq fi Syarhi Sullamit Taufiq, dan Ats Tsimarul Yani’ah fir Riyadhil Badi’ah, yang kesemuanya kitab tersebut tiada dinyatakan tahun penulisan.

Sebuah lagi adalah di bahagian awal kitab Syarah Kasyifatis Saja ‘ala Safinatin Naja fi Ushuliddin wal Fiqh, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).

Demikianlah senarai ringkas karya-karya ulama silam Dunia Melayu yang membahas perkara akidah Islamiah yang sekali gus dari tahun-tahun penulisan. Dengan ini dapat kita ketahui bahawa ilmu tersebut telah ditulis bersama-bersama dengan ilmu-ilmu keislaman di bidang lainnya, yang dapat kita kaji sejak abad ke-16 Masihi lagi.

Kita berkeyakinan bahawa ilmu-ilmu yang membahas perkara akidah telah sampai di rantau ini dibawa serentak dengan kedatangan agama Islam itu sendiri.

SUKATAN PELAJARAN ILMU TAUHID TRADISIONAL DI DUNIA MELAYU

Dalam dunia pendidikan moden, kita mengenal istilah sukatan pelajaran atau kurikulum. Walaupun istilah tersebut dalam pendidikan tradisional tidak diperkenalkan secara meluas, namun dari karya-karya peninggalan mereka dapat kita mengerti bahawa hal itu telah berlaku sejak lama di Dunia Melayu.

Kurikulum pelajaran tauhid secara tradisional dapat dibahagi kepada berikut, iaitu: Peringkat Awal/Permulaan, Peringkat Menengah dan Atas dan Peringkat Pembahasan dan Penyelidikan. Peringkat-peringkat tersebut dapat dibicarakan satu persatu bahagiannya sebagai berikut:

I. Peringkat Awal/Permulaan

Dimaksudkan dengan Peringkat Awal / Permulaan ialah orang-orang yang baru memasuki pelajaran Ilmu Tauhid dan tidak terikat dengan umur.

Adakalanya seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun atau seorang yang telah tua hingga melebihi 40 tahun mereka wajib diberi pengertian asas tauhid dengan cara menghafal.

Bezanya hanyalah cara menyampaikannya sahaja, tentu saja tidak sama menerapkannya antara seorang kanak-kanak dengan seorang yang telah berumur.

Untuk peringkat ini Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sekurang-kurangnya telah menyusun dua kitab Ilmu Tauhid iaitu Irsyadul Ithfal dan ‘Iqdatul Jawahir.

‘Iqdatul Jawahir tersebut selain merupakan asas akidah, dapat juga digunakan sebagai penolong ke arah sastera klasik kerana ia ditulis dalam bentuk syair dua bait, dua bait tak ubahnya seperti ‘Gurindam Dua Belas’ gubahan Raja Ali Haji dari Riau.

Barangkali gaya bahasa sastera Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti tersebut telah mempengaruhi sasterawan yang berasal dari Riau itu. Ini kerana tidak dapat dinafikan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang guru kepada Raja Ali Haji sewaktu dia ke Mekah dalam tahun 1245 H (kira-kira 1831 M), iaitu tahun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan karya beliau ‘Iqdatul Jawahir.

Selain mengarang dua kitab dalam bahasa Melayu untuk peringkat ini, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menekankan supaya kanak-kanak digalakkan menghafal akidah berbentuk dalam bahasa Arab.

Hal ini disedari beliau kerana untuk pengiktirafan menjadi seorang ulama peringkat antarabangsa adalah dimestikan menguasai bahasa Arab dalam pelbagai bentuk keilmuannya.

Ada empat karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk peringkat ini, iaitu dua dalam bahasa Arab dan dua dalam bahasa Melayu.

Judul kitab dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid dan Munjiatul ‘Awam. Kedua-duanya ditulis di Mesir dan telah diuji oleh pengarangnya mengajar kedua-dua kitab itu di Masjid Jamek Azhar, Mesir kepada orang-orang yang bukan berasal dari Dunia Melayu.

Dua karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk Peringkat Awal dalam bahasa Melayu pula ialah An Nurul Mubin dan ‘Aqidah Ushuluddin Pendek.

Dalam kedua-dua kitab kecil tersebut, beliau menyimpulkan seluruh akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk kanak-kanak dan orang awam adalah meliputi beberapa perkara berikut, antaranya: tentang rukun Islam, rukun iman, Sifat Kamalat yang wajib bagi Allah ada 13 sifat, demikian juga lawannya, kemudian ditambah lagi tujuh sifat yang dinamakan Sifat Ma’nawiyah dan sebagainya yang banyak tidak dapat dimuatkan keseluruhannya di sini.

Dua karya yang beliau tulis dalam bahasa Arab yang berbentuk syair pula. Kandungannya jauh lebih lengkap daripada yang ditulis dalam bahasa Melayu. Hal ini dapat dimaklumi kerana kedua-dua kitab bahasa Arab itu adalah untuk diajar di pondok-pondok yang bercorak pengkaderan bukan untuk orang awam.

Dari segi akidah jelas mencerminkan suatu ajaran yang dapat dipertanggungjawabkan. Ditinjau dari segi bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani nampaknya berusaha supaya dari peringkat kanak-kanak lagi perlu diajar bahasa Arab yang begitu tinggi hingga sampai kepada gaya bahasa sasteranya.

Ditinjau dari segi kelengkapan kandungan, sebagai contoh seperti tertulis dalam Jumanatut Tauhid pada bait pertama (tidak dapat dipaparkan contoh dalam bahasa Arab) iaitu, maksudnya, “bahawa wajib memelihara kulliyat lima atau enam perkara, iaitu: agama Islam, diri, harta, nasab, kehormatan, dan akal”.

Pada bait yang lain antaranya ditinjau dari sudut politik, bahawa untuk memelihara yang tersebut itu adalah “menghendaki kepada pentadbiran yang baik pula”.

Politik yang baik dan pentadbiran yang baik menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya yang lain ialah menurut yang telah diperintahkan Allah kepada para RasulNya. Diakui atau tidak ketokohan ulama kita ini mengkaderkan tokoh-tokoh politik di Dunia Melayu melalui akidah Islamiah yang berkesinambungan memerlukan analisis, pengkajian dan pandangan secara jujur secara saksama dan mendalam.

Sebagai bukti, sehingga tertulis dalam buku Kurikulum Bersepadu Seolah Menengah Sejarah Tingkatan 2 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 1989, halaman 182 sebagai yang berikut: “Di Tanah Melayu pada masa itu, telah ada tokoh yang menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani membentuk sebuah negara Islam. Tokoh tersebut ialah seorang ulama terkenal di Mekah. Beliau ialah Sheikh Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad Zain yang berasal dari Patani. Beliau menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani bersatu untuk menentang Siam dan membentuk sebuah kerajaan Islam yang akan dilindungi oleh Empayar Turki”.

Di bahagian akhir kitab Jumanatut Tauhid diperlengkapkan dengan beberapa bait pengertian akidah yang bersangkut paut dengan tasauf. Untuk melengkapi akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah di peringkat awal sebagai pengkaderan di pengajian pondok tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis di dalam Munjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam dengan beberapa bait tentang tanda-tanda kiamat.

Penutup

Seterusnya untuk dua peringkat yang tidak dibicarakan lagi iaitu peringkat Menengah/atas dan peringkat perbahasan/ penyelidikan dalam sukatan ilmu tauhid tradisonal di Alam Melayu ini akan disambung perbicaraannya pada ruangan yang sama pada minggu hadapan.

Untuk bahagian pertama ini, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu yang dapat dipercayai dan dipertanggungjawabkan ilmunya di bidang akidah Islamiah telah berhasil mengarang ilmu tersebut dalam banyak judul kitab, sama ada dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Arab.

Malahan terdapat beberapa judul kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab dapat diajarkan di luar Dunia Melayu, termasuk orang-orang Arab sendiri menggunakan karya ulama Melayu tersebut.

9 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
n.ajis said...

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik ataupun diam" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga pemilik blog dapat menghayati apa yang dituliskan di atas. Ini kerana apa yang sedang dia lakukan hanya akan memecahbelahkan masyarakat Islam yang sebelum ini tenang biarpun berbeza mazhab. Mujurlah yang membaca blog inipun tidak seramai mana berbanding bahan bacaan penggerak tajdid dan sunnah tulen yang disiarkan di media serta televisyen perdana negara. Buat pengikut setia al ahbash, teruskanlah berdebat sesama sendiri sehingga anda bosan kerana hidup seperti katak di bawah tempurung. Hidup anda pun hanya berkisar tentang mazhab syafie nusantara yang entah dari mana datangnya. Teruskanlah baca kitab kuning kerana arakian demikianlah tersebutlah maka dengan kisah yang mafhumnya pada zaman dahulukala lagi purbakala zaman batu sang imam...

Ahmad Nahwan Nuur Hanizi said...

hancurlah jika sesuatu ustaz....itu
memecah belahkan umat islam masa kini,yang saya pelik kenapa individu atau puak yang betul2 sesat dia tak nak kacau,ni kacau org yang tak pernah ambil tahu pasal dia..semoga Allah laknat ustaz..dan puak-puaknya sekali.

Ahmad Nahwan Nuur Hanizi said...

Assalamualaikum..

ustaz saya hendak bertanya apakah hukum sesorang itu memfitnah org itu wahabi,sedangkan org itu tidak pernah mengamalkan amalan wahabi..
dan apa hukum org fitnah dua tokoh ulamak itu wahabi? saya harap mahfuz muhamad yang jawab....

Muhammad said...

Bersama Muhadits Syeikh Muhammad Ibrahim dari Syria HARI INI (Rabu): http://wp.me/PiAx4-ZD

Anonymous said...

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ تَمَسَّكُوْا بِهَا وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Muhammad said...

Majlis Maulid Mingguan Masjid Baitul Aman, Jalan Damai Kuala Lumpur: http://wp.me/piAx4-11k

Ceramah Isu Semasa Mengenai Fahaman Songsang WAHHABI Di Malaysia : http://wp.me/piAx4-11m

Mencontohi Salafussoleh : http://wp.me/piAx4-11i

Yayasan Ilmu said...

Assalamualaikum, pemilik blog namakan blognya'ahlus sunnah wal-jama'ah', tapi tahukah siapa sebenarnya golongan ni? Ramai orang cakap tentangnya, tapi mereka belum faham sebenarnya. Cuba lihat criteria yg dipaparkan dalam: yayasan-ilmu.blogspot.com, baru dapat tahu sejelas-jelasnya siapa mereka itu. Bukan orang yg berfahaman mazhab itu ataupun ini.

PRO ISLAM said...

Salam Ustaz,
izinkan saya copy & paste mana2 artikal dari blog ustaz untuk dimuatkan dalam blog saya, bagi rakan2 yang layari blog saya, untuk manafaat kepada ummah