Monday, June 1, 2009

Karya Ulama Patani - Usuluddin Dan Tasawuf.

Tuan Guru Hj. Abd. Qadir Bin Ismail As-Sanawi (Ulama Patani yang 'alim dalam bidang ilmu Tauhid)


KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232 H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil 'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi 'Aqaidil Iman.

Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, 'Unwanul Falah.

Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.

Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah. Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.

2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih ..."

3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula."

Ketuhanan

Dalam Warduz Zawahir pula, "... telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah ..." Selanjutnya, "Dan yang bersalahan antara orang Mu'minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu'minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya".

Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, "Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam'iyat, iaitu ..."

Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.

Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat

Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: 'Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.

Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan 'ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.

Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.

Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.

Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam'ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.

Menggubah puisi

Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.

Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa'id Linggi (Sheikh Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.

Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A'ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan 'Unwanul Falah.

Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A'ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.

Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-'Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-'Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-'Arabi.

1 comment:

Hikayat Hidup said...

dimana syeikh muhammadzein. pengarang kitab quthrullaban. miftahus shibyan dan fawaiduzzain yang berkembang dan dikaji di desa lalang kabpaten batu bara sumatera utara. tolong tuliskan sejarahnya. saya punya sebagian kitab karangannya.